Apa ada pada nama? 


.

Mari Kenali Virus Korona COVID-19 

Oleh: Hasran U. A.

Apa ada pada nama?

Sebelum penyakit ini diberi nama rasmi, ia dikenali sebagai "virus korona baru 2019". Nama rasmi yang diberi oleh World Health Organization (WHO) pada 11 Februari 2020 untuk penyakit ini adalah COVID-19, yang bermaksud penyakit virus korona 2019 (COronaVIrus Disease 20-19).

Nama ini dipilih oleh WHO kerana virus ini ada kaitan genetik dengan virus korona yang menyebabkan wabak sindrom pernafasan akut teruk (SARS) pada tahun 2003. Oleh itu, virus yang menyebabkan penyakit COVID-19 ini dipanggil sindrom pernafasan akut teruk virus korona 2 (SARS-CoV-2). 

Walaupun mempunyai kaitan, virus korona COVID-19 dan SARS adalah berbeza dari beberapa aspek seperti tempoh inkubasi penyakit, kelajuan penyebaran virus dari seorang pembawa ke pembawa lain, dan cara rawatan.

Apakah peringkat-peringkat yang terlibat?

COVID-19 diketahui mempunyai 4 peringkat iaitu:

Peringkat 1: Kes-kes didapati hanya dari negara-negara yang awal terjejas dan pembawa-pembawa virus COVID-19 yang kembali dari negara-negara tersebut sahaja didapati positif. Pada peringkat ini tiada penyebaran penyakit di dalam negara.

Peringkat 2: Penyebaran tempatan dari mereka yang dijangkiti mula berlaku.  Ini terjadi apabila mereka yang kembali dari negara-negara yang terjejas dan positif COVID-19 berhubung rapat dengan sanak saudara dan kenalan masing-masing. Pada peringkat ini, belum ramai yang dijangkiti dan pihak bertanggungjawab masih dapat melakukan pengesanan kenalan (contact tracing) dan menghadkan penyebaran melalui kuarantin diri. 

Peringkat 3: Ini adalah peringkat penyebaran komuniti.  Pada peringkat ini, mereka yang disahkan positif adalah dari kalangan yang tiada hubungan dengan pembawa virus COVID-19 atau mereka yang kembali dari perjalanan ke negara-negara yang terjejas. Dalam erti kata lain, sumber virus tersebut tidak dapat dikenal pasti dengan jelas.

Peringkat 4: Ini adalah tahap jangkitan paling teruk yang berbentuk wabak. Jangkitan besar-besaran berlaku dan penyebaran sangat sukar untuk dikawal.

Dengan adanya Perintah Kawalan Pergerakan yang diumumkan yang bermula pada 18 Mac sehingga 31 Mac 2020, kerajaan Malaysia sedang berusaha membendung supaya situasi di negara ini tidak meningkat dari Peringkat 2 ke Peringkat 3. Oleh itu, rakyat dan warganegara bermastautin/penetap di Malaysia mesti mengamalkan penjauhan sosial (social distancing) untuk memastikan keadaan negara terkawal.

Akan datang: Kesan virus COVID-19 ke atas badan manusia

Rujukan:

1. https://www.who.int/emergencies/diseases/novel-coronavirus-2019/technical-guidance/naming-the-coronavirus-disease-(covid-2019)-and-the-virus-that-causes-it

2. https://www.windowofworld.com/covid-19-sars-mers/

3. https://www.connectedtoindia.com/the-four-stages-of-covid-19-explained-7280.html
.